Fatimah memujuk seorang gelandangan untuk dipindahkan ke Anjung Singgah buat sementara sehingga PKP dimansuhkan. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Fatimah memujuk seorang gelandangan untuk dipindahkan ke Anjung Singgah buat sementara sehingga PKP dimansuhkan. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan memohon peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membina sebuah pusat sehenti bagi golongan gelandangan di Sibu.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Kementerian menyokong cadangan Residen Sibu, Charles Siaw sebelum ini yang mahu mengubah suai bangunan lama MAKSAK di Sibu sebagai pusat sehenti.

“Kita fikir cadangan itu boleh diterima di mana gelandangan boleh singgah untuk mandi, makan, tidur dan seterusnya mencari pekerjaan semasa berada di pusat itu.

“Bagaimanapun pusat sehenti tersebut bukan tempat untuk mereka tinggal secara tetap, tetapi hanya tempat persinggahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan rondaan gelandangan di sekitar bandar raya Kuching iaitu kawasan Pusat Penjaja dan Rekreasi Song Kheng Hai, Taman Awam berdekatan Padang Sukan Jubilee dan Taman Hok Kien di sini, hari ini.

Malahan, Fatimah berkata, pusat sehenti itu juga akan menawarkan pekerjaan sebagai pencuci kereta di tempat letak kenderaan di kawasan premis tersebut namun tertakluk kepada peraturan.

“Sekiranya pusat sehenti itu berjaya, kita mungkin akan memperluaskan ke kawasan lain di negeri ini.

“Jumlah golongan gelandangan di Sarawk buat masa sekarang, tidak ramai tetapi dijangka bertambah, jika tiada tindakan diambil," ujarnya.

Bercakap mengenai rondaan gelandangan hari ini, Fatimah berkata, tindakan tersebut sebagai langkah membantu golongan gelandangan mempunyai tempat perlindungan sementara terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

Menurutnya, gelandangan di bandar-bandar utama seperti di Kuching, Sibu dan Miri akan ditempatkan di pusat perlindungan sementara sehingga 31 Mac ini.

“Kita akan mendapatkan maklumat gelandangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menempatkan mereka di pusat perlindungan sementara.

“Kalau di Kuching, kita letakkan di Anjung Singgah, Satok, Sibu di Rumah Rehat Kerajaan manakala di Miri, kita masih mencari tempat sesuai dan ia akan dirujuk dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat," ujarnya.

Setakat ini (24 Mac), kata beliau, seramai 144 gelangangan di seluruh Sarawak direkodkan dengan 44 daripadanya di Kuching, 21 di Sibu dan 17 di Miri.

Daripada jumlah tersebut, 18 gelandangan mengalami masalah mental, enam berkaitan penyalahgunaan dadah manakala selebihnya masalah keluarga dan hidup sebatang kara.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng dan anggota Polis Diraja Malaysia serta JKM Sarawak.


Fatimah memujuk seorang gelandangan untuk dipindahkan ke Anjung Singgah buat sementara sehingga PKP dimansuhkan. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

>Sources:Utusan Borneo Online